BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha dijangka akan membubarkan Parlimen sebelum penggal kerajaan berakhir lewat bulan depan.

Bagaimanapun beliau masih enggan mendedahkan tarikh pembubaran Parlimen dan mengikut garis masa dalam perlembagaan, pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya pada Mei.

Berdasarkan tinjauan pendapat, reputasi Prayuth semakin merosot berbanding Paetongtarn Shinawatra daripada parti Pheu Thai.

Paetongtarn merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Prayuth turut dijangka bertanding menentang mentor tenteranya berusia 77 tahun iaitu Prawit Wongsuwan yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan veteran politik dari rejimen tentera diraja yang sama.

Pembubaran awal boleh memberi kelebihan kepada Prayuth, yang menyertai parti baru United Thai Nation (UTN), bulan lalu.

Di bawah peraturan pilihan raya, pembubaran awal akan mengurangkan tempoh minimum keahlian parti untuk calon pilihan raya daripada 90 hari kepada 30 hari.

Partinya berada di tempat keenam dalam tinjauan pendapat yang dijalankan bulan lepas dengan sokongan daripada hanya 4.8 peratus responden.

Manakala Pheu Thai menduduki tempat teratas dengan 23.4 peratus.

Prayuth mengambil alih kuasa Perdana Menteri dalam rampasan kuasa 2014, menjanjikan pemerintahannya hanya sementara.

Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri junta dan kekal sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya 2019.